Jakim bidas Bersih Dan Pakatan Menerusi Khutbah Jumaat
SHAH ALAM 8 JULAI : Institusi masjid hari ini sekali lagi digunakan untuk menyerang pemimpin pembangkang dan penganjur perhimpunan aman Bersih menerusi Khutbah Jumaat.
Teks khutbah terbaru yang disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menuduh pemimpin-pemimpin berkenaan sebagai pengkhianat kepada bangsa, agama dan negara yang mahu memecah belahkan rakyat dan mengajak mereka bermusuhan dengan pemerintah.
” Sesiapa yang terlibat dan bersekongkol dengan golongan ini sebenarnya telah mengkhianati agama Allah SWT, terpesong daripada ajaran Rasulullah SAW, melakukan dosa yang besar dan menzalimi umat Islam serta keharmonian negara,” menurut teks itu.
Menurut khutbah Jumaat itu, umat Islam wajib memberikan sokongan bulat kepada pemerintah dan jika tidak akan menerima balasan di akhirat kelak.
“Pemerintah adalah pelindung Allah SWT di muka bumi ini, barangsiapa memuliakan pemerintah maka Allah SWT akan memuliakannya,” kata teks yang berjudul Rapuh Perpaduan Runtuh Keamanan.
“Justeru Islam telah menetapkan hukuman yang berat kepada sesiapa sahaja yang cuba memporak-perandakan pemerintah, kehidupan umat dan kesejahteraan negara.
Minggu lalu, mimbar masjid di Kuala Lumpur dan Putrajaya mengecam penganjuran perhimpunan Bersih yang akan berlangsung esok menerusi khutbah Jumaat.
Khutbah itu menyifatkan penganjur Bersih sebagai pelampau yang mahu menimbulkan huru hara dengan mengadakan demostrasi jalanan.
Malah khutbah itu mendakwa penganjur Bersih sanggup mencederakan anggota pasukan keselamatan dan menggesa umat Islam memulai perhimpunan itu yang bertujuan menuntut pilihanraya bersih dan adil.
Khutbah itu dikecam oleh pelbagai pihak sebagai usaha terdesak Umno mengheret insitusi masjid ke dalam kancah politik.
Pemimpin-pemimpin pembangkang menegur pihak disebalik khutbah itu kerana menyebarkan pelbagai dakyah bersabit Bersih tanpa sebarang bukti atau hujah yang bernas.
Teguran itu bagaimanapun diketepikan oleh Jakim yang meneruskan serangan terhadap perhimpunan Bersih dan Pakatan Rakyat yang menyokongnya.
Sungguhpun Jakim tidak menyebut Bersih atau PR secara terang, khutbah yang disediakan mengulangi tuduhan-tuduhan yang sebelum ini digunakan oleh Umno untuk membidas gabungan Bersih dan pembangkang.
”Hari ini sekali lagi pihak-pihak tertentu cuba meruntuhkan perpaduan yang terbina selama ini. Mereka cuba dengan pelbagai helah dan cara.” kata Khutbah itu.
”Mimbar ingin menyatakan bahawa mereka ini sebenarnya pernah menimbulkan kemarahan umat Islam. Mempertikaikan hak-hak orang Islam serta memperalatkan sebahagian daripada pemimpin yang beragama Islam yang dikaburi oleh keghairahan untuk mendapatkan kuasa,” tambah teks itu.
TVS News